Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendesak kerajaan menilai semula kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

Pengerusi Ikatan Negeri Kelantan, Shahir Adnan berkata, kenaikan OPR memberi dua kesan terhadap peminjam.

“Pertama, tempoh pembayaran menjadi lebih panjang ataupun kedua, kadar pembayaran akan menjadi semakin tinggi. Rakyat tidak diberikan pilihan lain yang kini terpaksa membayar pinjaman yang tinggi dan berdepan situasi getir setiap bulan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Oleh itu, tindakan menaikkan OPR sememangnya tidak memberi rakyat pilihan yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Shahir menegaskan, kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik kepada rakyat dalam mengimbangi situasi ekonomi negara dan kos sara hidup yang meningkat.

Menaikkan OPR bakal menyebabkan rakyat kurang wang untuk berbelanja.

“Dalam bahasa mudah kesan daripada kenaikan OPR ialah segala pinjaman yang menggunakan kaedah floating rate akan mengalami kenaikan bayaran bulanan.

“Apabila rakyat terpaksa bayar lebih kepada pihak bank maka kuranglah wang untuk berbelanja. Adakah ini yang mahu dilaksanakan sekarang waktu rakyat tersepit? Apa pula terjadi dengan cagaran KWSP untuk pinjaman bank?

“Amat menyedihkan kiranya dividen KWSP yang diumumkan pada tahun hadapan tidak dapat menampung kadar OPR yang tinggi,” kata beliau.

Justeru, kerajaan perlu memberikan penyelesaian terbaik kepada rakyat dalam mengimbangi situasi ekonomi negara dan kos sara hidup yang meningkat.

Menurut beliau, apabila OPR dinaikkan kadar cukai individu seharusnya diturunkan bagi mengelakkan rakyat ‘dihukum’ dari pelbagai sudut demi kelangsungan hidup setiap bulan.

Pada 3 Mei lalu Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

OPR mewakili kadar faedah minimum yang dikenakan di kalangan bank untuk pinjaman antara bank dan ia ditetapkan oleh BNM.

Ia antara alat yang digunakan bank pusat untuk menggubal dasar kewangan bagi mengawal bekalan wang negara dan mempengaruhi hala tuju ekonomi. – MalaysiaGazette