PERMATANG PAUH – Kerajaan Pusat akan mengambil alih pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan projek itu dilaksanakan pada kadar segera.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perbincangan mengenai mekanisme pembiayaan termasuk laporan cadangan pembinaan yang disediakan kerajaan negeri akan diperincikan dalam satu pertemuan nanti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu mencari lokasi baru bagi pembinaan depoh LRT tersebut memandangkan cadangan terdahulu ia dibina pada pulau yang akan ditambak menerusi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).
“Sebelum ini, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan depoh LRT menerusi Projek PSI tapi sekarang kita tidak boleh pertimbangkan cadangan tersebut kerana secara prinsip kerajaan akan ambil alih dan mahu pelaksanaan LRT disegerakan.
“Kemungkinan besar depoh untuk sistem LRT akan dibina dalam kawasan sedia di bahagian Pulau kita akan cari tapak bersesuaian jadi itu tidak terikat dengan penambakan.
“Ini sekali gus menunjukkan penambakan laut bukan di bawah bidang kuasa kerajaan dan sebab itu Perdana Menteri minta kerajaan negeri mengkaji semula penambakan laut termasuk kemungkinan memperkecilkan skop penambakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Pusat memperuntukan dana tambahan menerusi satu skim besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu segera dilaksanakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian dana tambahan itu dipersetujui susulan Pulau Pinang berdepan kesesakan lalu lintas yang keterlaluan sejak sekian lama dan LRT dilihat sebagai satu kaedah untuk mengatasi permasalahan terbabit.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyifatkan pengumuman Perdana Menteri membabitkan dana tambahan melalui satu skim besar bagi pembinaan LRT di negeri itu sebagai ‘hadiah’ Aidilfitri paling bermakna buat rakyat Pulau Pinang.
“Sudah sekian lama kita tidak ada projek-projek infrastruktur yang besar khususnya dalam menangani kesesakan lalu lintas.
“Bagi Pulau Pinang kita memilih LRT ini sebab ia sudah 10 tahun kita usahakan, menghadapi pelbagai kecaman dan lain-lain. Jadi, kita hadapi dengan sabar dan akhirnya menerima berita gembira ini pada hari ini,” jelas Kon Yeow. – MalaysiaGazette