Salahuddin (dua dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah Pulau Pinang.

TELUK KUMBAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak berpuas hati dengan alasan cuti raya yang diberikan syarikat pengilang gula hingga mengakibatkan berlakunya kekurangan bekala di Pantai Timur.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, meskipun krisis bekalan gula itu sudah selesai, namun perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tidak puas hati dengan alasan yang diberi mengenai isu cuti raya itu dan kita mahu pada masa akan datang, akan ada libat urus yang serius diambil bagi pihak KPDN dengan pemain industri supaya ia tidak berlaku lagi.

Salahuddin.

“Takkanlah tidak boleh hendak diunjurkan berapa keperluan atau berapa lama cuti raya sehingga sehingga berlaku kekurangan.

“Jadi kita akan lihat apa yang tidak kena kerana bimbang jika ada berlaku penyeludupan atau salah guna namun setakat Op Manis 2023 yang berakhir semalam, didapati ada kekurangan dan kita sudah menampung bekalan sehingga 36 peratus dalam masa dua hari,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah negeri di sini, hari ini.

Tambah Salahuddin, isu kekurangan bekalan guna di dua negeri itu semakin pulih dan pemborong utama juga telah menerima bekalan daripada pengilang secara berperingkat untuk diedarkan kepada pemborong dan peruncit di seluruh kawasan.

“Secara purata penggunaan gula untuk seminggu bagi negeri di Pantai Timur ialah 400 tan metrik untuk tempoh seminggu.

“Kita juga telah menambah bekalan gula sebanyak 36 peratus iaitu berjumlah 614.12 tan metrik bagi tempoh empat hari untuk menampung bekalan, jadi orang ramai jangan buat pembelian panik kerana bekalan mencukupi,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, Salahuddin dilaporkan berkata, gangguan bekalan gula di Pantai Timur dikenal pasti berpunca daripada penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd di Johor dan Perai, Pulau Pinang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, setakat ini dua syarikat insurans bakal memuktamadkan pakej Insurans Rahmah yang ditawarkan kepada rakyat termasuk pemilik kereta terpakai seperti kerosakan kotak gear atau enjin akibat bencana alam seperti banjir.

“Dalam tempoh dua minggu ini, dua syarikat yang akan diumumkan kemudian akan memuktamadkan pakej insurans berkenaan bagi membantu mengurang dan meringankan beban mereka yang berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette