Anthony Loke (tengah) pada Konvensyen Tahunan DAP di Johor Bahru, Johor.

MUAR – Pertukaran Ketua Menteri Pulau Pinang hanya akan dibuat selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, DAP masih menyokong kepimpinan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

“Ini bukan masanya. Perlu tunggu sampai Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, baru kita bincang tentang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Waktu ini pun Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang belum dibubarkan dan ini sudah cukup membuktikan kerajaan negeri itu masih mendukung kepimpinan Kon Yeow untuk terus menerajui negeri,” katanya pada sidang media pada Konvensyen Tahunan DAP Johor, di sini, pada hari ini.

Hadir pada sidang media  ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Veteran DAP, Lim Kit Siang.

Sebelum ini, terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Bagaimanapun, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang menafikan terlibat dalam gerakan menghalang Kon Yeow memegang jawatannya semula sekiranya PH menang pada PRN akan datang.

Terdapat desas desus bahawa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng akan kembali menerajui kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun pada 5 Mei lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Guan Eng yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri yang diluluskan pada 2018, tidak boleh dilantik semula.

Kon Yeow berkata, pindaan itu secara jelas menunjukkan bukan saja Guan Eng tidak boleh kembali ke jawatan itu semula, ia juga termaktub kepada beliau pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast