Kamarul Zaman Mamat menunjukkan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Pontian, Johor.

PONTIAN – Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan dadah rentas negara yang bernilai RM3.4 juta yang menjadikan rumah inap desa sebagai pusat transit dengan tertangkapnya lima lelaki dalam serbuan di Pontian dan Tangkak pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu itu menggunakan laluan laut bagi menyeludup masuk dan keluar dadah.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat 64.89kg dan 58,626 biji (17.58kg) pil ekstasi.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM3.43 juta,” katanya sambil menambah tangkapan tersebut melibatkan seorang tekong warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 382,896 orang penagih.

Selain itu, tambah beliau, polis turut menyita dua bot fiber, empat buah kereta sebuah motosikal serta wang tunai sebanyak RM1,790 dan S$21.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kamarul Zaman berkata, sesemua suspek yang berumur antara 23 hingga 53 tahun itu kini direman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette