SEPANG – Seorang ibu warganegara Malaysia bersama dua anaknya yang terperangkap di wilayah Al Gaza, Sudan ekoran konflik di negara itu, selamat kembali ke tanah air hari ini selepas 22 hari terkandas.
Junaidah Selamat, 49, dan dua anaknya Mohamad Ashraf, 18, dan Juliana Ashraf, 23, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menerusi penerbangan Saudia SV842 yang mendarat pukul 4.15 pagi tadi.
Namun malangnya, suami beliau yang merupakan warganegara Sudan, Ashraf Gasim Elsimd, 54 masih terkandas di Port Sudan kerana tidak memiliki pas residen Arab Saudi.
“Dia (suami) kini berada di Port Sudan dan Alhamdulillah dalam keadaan selamat kerana telah keluar dari Khartoum yang masih tegang. Saya harap urusannya (untuk kembali ke Malaysia) dipermudahkan dan kami sekeluarga dapat bersatu semula,” katanya kepada media sejurus tiba di KLIA dan disambut pegawai Wisma Putra.
Pertempuran antara Angakatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus di Khartoum dan kawasan sekitar pada 15 April lepas telah mengorbankan lebih 500 orang, dengan lebih 5,000 cedera serta lebih 100,000 penduduk dipaksa melarikan diri ke negara jiran.
Junaidah merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, kerajaan Arab Saudi, Kedutaan Besar Pakistan di Sudan serta semua pihak yang membantu membawa beliau dan anak-anak agar selamat keluar dari Khartoum.
Berkongsi pengalaman di Sudan, anak kelahiran Jeram, Selangor itu berkata sebelum pertempuran berlaku pada 15 April lepas, suaminya mengambil anak-anak dari sekolah dan menyatakan peperangan akan berlaku.
“Masa itu saya merasakan ia adalah perkara biasa kerana memang biasa berlaku demonstrasi di Sudan. Tetapi pada hari kedua (16 April) ketika bangun untuk solat Subuh kedengaran bunyi tembakan dan tembakan dari kereta kebal sehingga rumah kami bergegar malah peluru-peluru mula memasuki kediaman,” kata ibu kepada empat anak itu.
Junaidah berkata selepas itu situasi kian meruncing sehingga bekalan elektrik terputus, barang keperluan terutama air minum tiada lagi dijual sehingga orang awam kini mengambil kesempatan untuk memecah masuk rumah dan kedai mencuri harta dan makanan.
“COVID-19 lebih baik dari peperangan kerana peperangan ini antara hidup dan mati. Kalau sakit tidak boleh ke hospital kerana semuanya telah ditawan tentera untuk dijadikan markas. Bangunan am lain seperti sekolah juga dijadikan penempatan tentera.
Kalau nak keluar beli makanan, ada sekatan askar dan mereka suruh patah balik kalau tak dengar cakap, akan kena tembak,” katanya.
Junaidah berkata selepas enam hari beliau mendapat maklumat dari kakaknya di Malaysia menyatakan Wisma Putra menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia keluar dari Sudan, namun sudah terlambat kerana namanya tidak dipanggil kerana tidak berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.
“Oleh itu anak saya yang berada di Malaysia, Ahmad Ashraf, 25 memaklumkan kepada Wisma Putra dan kemudian diberi nombor telefon untuk dihubungi di Sudan. Selepas Kedutaan Besar Malaysia di Sudan menjawab e-mel saya. Kebetulan saya memang kena balik Malaysia pada September sebab pasport perlu diperbaharui,” katanya.
Selepas itu, beliau berkata Wisma Putra memaklumkan untuk pergi ke Port Sudan namun perjalanan itu mendebarkan kerana setiap 10 minit ada sekatan jalan oleh tentera namun perjalanan itu dipermudahkan dengan penyediaan dokumen-dokumen. – BERNAMA