Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki  mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi yang boleh mengancam harmonian awam.

Kenyataan tersebut dimuat naik di laman Facebook Nong Mazlan

Setiausaha PDRM Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek yang merupakan seorang warga tempatan berusia 61 tahun ditangkap di Kampung Hulu, Melaka pada 6 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek polis turut berjaya merampas dua buah telefon bimbit.

“Suspek disyaki memuat naik tiga posting Facebook yang bersifat provokasi dan berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Tambah Noorsiah, siasatan dalam kes berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niar hendak membangkitkan pecah keamanan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahna rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.

Tegas beliau, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibuat dan tempoh tahanan reman dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 9 Mei.

“PDTM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan, mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa,kaum, raja dan seumpamanya yang boleh membawa kepada ketidakharmonian dan menjejaskan perpaduan,” kata Noorsiah. – MalaysiaGazette