Logo Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Global BERSIH akan menganjurkan persidangan meja bulat di Parlimen.

Program selama dua hari bermula esok bertemakan ‘Mendalami Demokrasi di Malaysia: Menjadikan kerajaan gabungan dan Parlimen tergantung berfungsi’.

Persidangan itu mendapat kerjasama Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Pejabat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Kofi Annan Foundation (KAF).

“Acara dua hari ini akan menampilkan penyertaan daripada pakar-pakar dalam dan luar negara, pemimpin-pemimpin politik rentas parti, pemimpin masyarakat sivil, para akademik, kumpulan mahasiswa dan pengamal media.

“Kerangka perbincangan akan menyentuh peluang dan langkah untuk mempertingkatkan amalan demokrasi di Malaysia melalui konteks Pilihan Raya Umum Ke-15 (#PRU15),” katanya.

Objektif keseluruhan projek itu adalah untuk menjamin kestabilan politik yang diperlukan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan dasar dan pembaharuan.

Menurut aturcara dan agenda yang diedarkan, forum meja bulat itu akan mengumpulkan kira-kira 160 peserta termasuk pejabat Menteri Undang-undang, wakil parti politik, ahli Parlimen, ahli akademik, kumpulan belia, wakil masyarakat sivil dan media serta pakar antarabangsa.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau dijadual akan menyampaikan ucaptama sementara Pengerusi BERSIH, Thomas Fann akan menjadi moderator bagi sesi pertama.

Setiap daripada empat sesi akan merangkumi pembentangan oleh pakar antarabangsa mengani amalan dan proses demokrasi yang ditetapkan di negara lain.

“Adalah dijangkakan bahawa meja bulat berikut akan merangkumi isu-isu penting seperti menyelesaikan pilihan raya pembaharuan, meningkatkan perwakilan dan pembiayaan politik,” katanya.

Laporan yang menggariskan cadangan utama hasil daripada perbincangan  akan diterbitkan selepas forum meja bulat selesai.

Keputusan segera meja bulat pertama di Parlimen akan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan pihak berkepentingan tentang faedah, amalan dan cabaran gabungan pelbagai parti di seluruh dunia dan pemahaman yang lebih mendalam tentang cara ia digunakan dalam konteks Malaysia.

Beberapa siri meja bulat itu juga akan diadakan di Kuala Lumpur sepanjang 2023 dan 2024.

Bersih sebelum ini dikenali sebagai pengajur beberapa siri perhimpunan haram ketika era pemerintahan Barisan Nasional.-MalaysiaGazette