Kemalangan motosikal terbabas di Kilometer 53.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong pukul 5.30 petang semalam. Gambar ihsan PDRM Bentong

KUANTAN – Seorang wanita maut manakala adik lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Kilometer 53.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang.

Beliau berkata, motosikal itu ditunggang seorang wanita berusia 22 tahun bersama adiknya yang berusia 15 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Raub, Pahang.

“Hasil siasatan berdasarkan kesan-kesan kerosakan, polis mendapati motosikal itu telah hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri,” katanya.

Akibat kemalangan tersebut, katanya penunggang motosikal, Farah Amira Samsuri dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala adik lelakinya cedera parah dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Zaiham berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian diminta tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette