KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Selangor merampas kasut tiruan berjenama bernilai RM800,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah stor rumah kedai di Taman Sejati, Klang hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Mohd Khairi Jamaludin berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif menjual kasut tiruan berjenama secara dalam talian sejak setahun lalu.
“Siasatan penguatkuasa juga mendapati kesemua kasut tiruan itu dipercayai diimport dari luar negara dan disimpan di stor ini yang disewa khas oleh sindiket berkenaan sebelum menjual barang tiruan itu menerusi media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, operasi itu dilancarkan hasil risikan pihaknya selama sebulan selain aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan itu.
Menurut Mohd Khairi, semasa serbuan pasukan penguatkuasa terpaksa memecahkan pintu di tingkat atas premis berkenaan kerana tidak mendapat kerjasama.
“Hasil pemeriksaan di dalam premis itu, pasukan telah menjumpai kira-kira 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama yang melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019,” ujarnya.
Mohd Khairi berkata, siasatan mendapati kasut itu dijual pada harga antara RM180 hingga RM400 sepasang.
Katanya, seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.
Jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. – MalaysiaGazette