Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Majid bergambar bersama penerima sumbangan simpanan SSPN Prime pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MUH NA’IM, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited membantu masyarakat terutamanya golongan pelajar melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan berjumlah RM10,000.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, sumbangan itu dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 20 orang pelajar istimewa di dua institusi pengajian tinggi awam.

Beliau berkata, ia melibatkan masing-masing seramai 10 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

“Saya juga ingin melihat pelajar-pelajar yang diraikan ini akan menjadi pemimpin yang disegani dan berwibawa serta membawa nama Malaysia ke persada dunia.

“Usaha PTPTN ini sewajarnya dicontohi oleh agensi-agensi lain dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara

“Ia sekaligus akan membantu meningkatkan kesedaran budaya menabung bagi tujuan pendidikan tinggi. Saya turut mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bersama PTPTN bagi kepentingan negara,” katanya.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Majid berucap pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MUH NA’IM, 08 MEI 2023.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 di Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Mohammad Yusof berkata, usaha murni PTPTN kepada pembangunan modal insan negara adalah sesuatu yang harus dibanggakan.

Jelas beliau melalui pinjaman pendidikan yang disediakan, telah membantu ramai pelajar terutama dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan agar dapat meneruskan pengajian tanpa masalah kewangan.

“Bukan itu sahaja, instrumen simpanan bagi tujuan pendidikan melalui Simpan SSPN merupakan tabung pendidikan yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.

“Masyarakat seharusnya mengambil peluang untuk memulakan penabungan dengan Simpan SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, di sebalik tanggungjawab PTPTN dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara, sentiasa cakna dan prihatin dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Majid menyampaikan sumbangan kepada penerima simpanan SSPN Prime pada Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2023 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MUH NA’IM, 08 MEI 2023.

Kata beliau, agensi di bawah Kementerian Pendidikan menganjurkan program-program CSR untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“PTPTN berbesar hati menyampaikan sumbangan CSR kepada 20 orang pelajar istimewa daripada UIAM dan UM.

“Kedua-dua institusi pengajian tinggi awam ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PTPTN dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk kerjasama strategik serta atas keprihatinan PTPTN dalam aspek pendidikan,” katanya.

Bagi memeriahkan sambutan hari raya pada tahun ini sedang berlangsung Kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya untuk pendeposit Simpan SSPN bermula 1 Mac lalu hingga 31 Mei ini. Hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 menanti 23 pemenang.

Simpan SSPN merupakan produk simpanan pendidikan yang menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia. Antara kelebihan produk ini ialah kadar dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih hingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, perlindungan takaful secara percuma dan simpanan dijamin Kerajaan serta patuh syariah.

Dalam pada itu, seorang pelajar istimewa, Muhammad Ammeer Badrul Hisham, 19, berkata, dia bersyukur menjadi salah seorang daripada 20 penerima Simpan SSPN itu dari PTPTN.

Beliau yang merupakan pelajar asasi di UIAM yang mengalami masalah pendengaran mengucapkan terima kasih kepada PTPTN yang menyifatkan pemilihannya sebagai satu kejutan. – MalaysiaGazette