ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Mi Kari Putih Penang Ah Lai dan Mi Segera Perisa Ayam Special jenama Indomie mematuhi perundangan ditetapkan dan selamat untuk dimakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, keputusan berkenaan dibuat susulan analisa makmal yang dilakukan terhadap kedua-dua mi segera berkenaan.

“Bagi makanan yang diimport, KKM melaksanakan enam tahap pemeriksaan di pintu masuk berdasarkan risiko. Bagi pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas (TUL), produk makanan yang masuk ke negara ini akan ditahan dan dianalisa terlebih dahulu.

“Hanya produk makanan yang mematuhi standard sahaja yang dilepaskan untuk di pasaran Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Muhammad Radzi, bagi tempoh 2022 hingga April tahun ini, sebanyak 317 pensampelan bagi tujuan TUL telah dijalankan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 37 atau 11.67 peratus merupakan pensampelan TUL ke atas produk mi segera pelbagai jenama bagi parameter ethyle.

Ujar beliau, produk yang didapati tidak mematuhi peraturan akan ditarik balik daripada pasaran bagi memastikan keselamatan pengguna.

“KKM ingin menegaskan bahawa produk yang berada di pasaran tempatan telah melalui prosedur yang ditetapkan dan adalah selamat,” tambahnya.

Sebagai rekod, sebelum ini Jabatan Kesihatan Taipei mendakwa dia jenis mi segera buatan jenama Malaysia dan Indonesia mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser. -MalaysiaGazette