Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Pemuda Parti-Parti Gabungan Kerajaan Perpaduan akan melancarkan Geng Perpaduan sebagai persiapan menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jentera baharu politik pemuda itu akan dilancarkan pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Ahad ini.

Menurutnya, inisiatif koloberasi antara pemuda parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tercetus selepas menyaksikan hubungan yang sangat baik terutama pada peringkat sayap-sayap pemuda parti masing-masing.

“Sebab itu, Ahad ini kita akan lancarkan Geng Perpaduan yang mana kita akan gunakan sayap pemuda parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan untuk terlibat dalam gerak kerja PRN akan datang.

“Ini juga akan membuktikan cakap-cakap yang mendakwa kononnya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ini goyah, maka ianya boleh dibuktikan kerjasama erat dalam kalangan sayap pemuda parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, Geng Perpaduan yang dianggotai pemuda daripada parti-parti dalam BN, Pakatan Harapan (PH), Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Muda dilihat mampu menjadi jentera ampuh menjelang PRN.

“Jentera Geng Perpaduan ini akan diwakili semua orang muda dalam Kerajaan Perpaduan untuk kita tunjukkan gerak kerja pertama yang kita akan laksanakan di setiap enam negeri PRN.

“Kita jangkakan, pada pelancaran Ahad ini, lebih 2,000 atau 3,000 pemuda Geng Perpaduan akan hadir demi masa depan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette