Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang ditemui media selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung isu perlombongan haram di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Mineral Negara semalam.

“Kerajaan memandang serius berhubung isu ini dan pihak kita akan mempertingkatkan penguatkuasaan. Pada masa yang sama, kita juga akan keluarkan SOP berhubung perlombongan terutamanya lombong kritikal seperti ini.

“Isu perlombongan ini tidak hanya berlaku di Kedah sahaja tetapi di seluruh negara yang mempunyai tempat lombong.

“Namun untuk lebih terperinci boleh rujuk Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA),” katanya pada pemberita.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang merasmikan Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibah di sini hari ini.

Program NGO@Makerthon telah membantu 20 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan memperkasa pengetahuan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Ia bagi membangunkan inovasi penyelesaian serta membina sistem sokongan berterusan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, sebanyak 60 tapak perlombongan haram dikesan di seluruh negara dengan kebanyakannya dilaporkan di Kedah.

Beliau berkata perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Bagaimanapun hari ini Muhammad Sanusi menafikan dakwaan menyatakan beliau mengakui kebanyakan tapak perlombongan haram di negara ini berada di negerinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, Fadillah salah faham mengenai maklumat yang disampaikannya pada mesyuarat Majlis Mineral Negara semalam.

Justeru, beliau menjelaskan, menjadi kewajipan untuknya memperbetulkan salah maklumat yang dikeluarkan Fadillah selaku oleh pengerusi mesyuarat ketika membuat sidang media. – MalaysiaGazette