Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik akaun Facebook bernama Nong Mazlan yang  ditahan atas dakwaan melakukan provokasi melampau dalam media sosial terhadap pemimpin  minggu lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menerusi satu kenyataan  telah memaklumkan mengenai pembebasan warga emas berusa 61 tahun itu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan kes tersebut kepada Pejabat Peguam Negara pada 8 Mei 2023.

“Manakala suspek dibenarkan bebas dengan jaminan polis setelah tamat tempoh reman iaitu pada hari ini (9 Mei 2023) berikutan siasatan masih perlu diteruskan sehingga laporan analisis forensik diterima daripada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM),” kata beliau.

BACA: Warga emas ditahan keluar kenyataan hasut, provokasi di laman Facebook

Dalam kenyataan sebelum ini, Noorsiah mengesahkan tangkapan ke atas individu itu yang dibuat oleh sepasukan polis dari Bukit Aman di Hulu Melaka pada 6 Mei lalu.

Suspek ditangkap kerana disyaki mengeluarkan satu kenyataan berbaur provokasi yang boleh mengancam harmonian awam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek polis turut berjaya merampas dua buah telefon bimbit,” ujarnya.

Tambah Noorsiah lagi, siasatan dalam kes berkenaan sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niar hendak membangkitkan pecah keamanan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Tegas beliau, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibuat dan tempoh tahanan reman dibenarkan selama tiga hari bermula Ahad 7 Mei hingga 9 Mei ini. – MalaysiaGazette