Ab Rauf meninjau keadaan cerun di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka yang berisiko runtuh menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan

MELAKA – Pemaju projek pembangunan kedai pejabat berhampiran Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh di sini diberi tempoh tujuh hari untuk memastikan tiada kerosakan akibat pembangunan atau berdepan risiko projek dihentikan sementara.

Itu amaran tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas meninjau sendiri aduan penduduk berkenaan  keretakan jalan dan kerosakan rumah yang didakwa berpunca daripada projek berkenaan sejak ia bermula Disember 2021.

Dalam lawatannya itu, pemaju projek berkenaan juga telah memberi jaminan segala langkah-langkah keselamatan dan teknikal akan dipatuhi.

“Pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah beri tempoh seminggu untuk pemaju buat retification dan kita akan pantau permasalah ini secara harian bagi memastikan penduduk dapat hidup dalam keadaan tenang tanpa ada pergerakan tanah.

“Jika masih berlaku kerosakan lebih besar kita terpaksa ambil tindakan yang lebih tegas, kemungkinan projek ini ditangguh sementara sehingga satu jalan penyelesaian dapat dibuat,” katanya.

Ab Rauf meluangkan masa hampir satu jam meninjau dan mendengar aduan penduduk dan penjelasan pemaju berhubung pembangunan projek di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa hampir satu jam mendengar aduan penduduk dan penjelasan pemaju berhubung projek berkenaan di sini hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seramai kira-kira 500 penduduk Taman Muzaffar Shah ibarat tak lena tidur malam memikirkan keselamatan diri menjadi mangsa tanah runtuh hakisan tebing projek berkenaan di hadapan kediaman mereka.

Dakwa penduduk, walaupun kerajaan dan pemaju sudah memberikan jaminan kawasan itu selamat daripada bencana, ia tidak mampu memberikan ketenangan buat mereka sejak projek tersebut bermula dua tahun lalu.

Menurut mereka, semua kerja-kerja pencegahan tanah runtuh dilihat diambil secara sambil lewa atau tidak menepati spesifikasi sepatutnya, menjadikan kesan keretakan di jalan masih ketara termasuk kejadian tanah runtuh masih berlaku.

Ab Rauf Yusoh

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pihak pemaju projek terbabit juga diingatkan supaya dapat memenuhi tuntutan ganti rugi penduduk yang terjejas akibat daripada projek terbabit.

“Pemaju diingatkan supaya dapat berhubung dengan semua penduduk yang yang terjejas, iaitu keadaan rumah yang retak dan perlukan penambahbaikan serta pemulihan.

“Cerun ini telah diperingkat awal ianya telah ikut spesifikasi yang telah dibentangkan kepada pihak berkuasa, namun maklumlah struktur alam ini berubah-ubah jadi ia perlu pemantauan untuk menjamin keselamatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

500 penduduk diancam tanah runtuh