Dewan Pemuda Pas Pahang (DPPP) menyerahkan memorandum isu gangguan bekalan air kepada ADUN PN yang diketuai ADUN Cheka yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Pahang perlu mewartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terjejas disebabkan aktiviti penerokaan untuk tujuan pembalakan, pelombongan dan sebagainya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara ini perlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri supaya masalah gangguan bekalan air yang berlaku dapat diselesaikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Cheka dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang berkata demikian selepas menerima memorandum berkaitan isu gangguan bekalan air dari Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih di sini hari ini.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, memorandum isu air yang diserahkan Dewan Pemuda Pas Pahang itu merupakan aduan-aduan dikumpul berkaitan masalah air yang diterima daripada rakyat di sembilan daerah di negeri ini.

Sementara itu, Mohd Zarimi mahu kerajaan negeri memberi penjelasan selain langkah penyelesaian berkaitan isu gangguan bekalan air yang berlarutan di hampir semua daerah di negeri ini.

Menurutnya, perkara itu perlu dibahaskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 yang berlangsung sehingga Jumaat ini.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih

“Penjelasan juga perlu diberikan tentang kerugian yang dialami Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita minta ADUN Perikatan Nasional (PN) bawa isu itu pada Sidang DUN yang berlangsung untuk perhatian dan tindakan daripada kerajaan negeri agar masalah air yang berlaku dapat diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast