Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di United Kingdom kini menawarkan Program Sabatikal Sarawak bagi menggalakkan dan membolehkan penjawat awam negeri ini meningkatkan kemahiran profesional mereka.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan program berkenaan dan Sayap Sarawak di OCIS, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif serta kerjasama antara OCIS dengan kerajaan Sarawak, pada Isnin lepas.

“Program sabatikal ini merangkumi pelbagai kursus yang disesuaikan berdasarkan kepada kehendak dan keperluan pegawai bagi tempoh dua bulan,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Premier Sarawak hari ini.

Abang Johari melahirkan harapan agar OCIS dapat memperluaskan bidang penyelidikannya merangkumi kajian kemampanan, penyahkarbonan dan ekonomi hijau untuk seiring dengan perkembangan semasa dunia dalam menangani perubahan iklim.

Beliau berkata Sarawak sudah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada suara global dalam menangani perubahan iklim dengan pelbagai inisiatif sedia ada ke arah penyahkarbonan, peralihan tenaga dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Malah, saya perlu kembali ke Kuching untuk melancarkan teknologi baharu bagi penghasilan bahan api penerbangan mampan daripada alga pada Rabu (hari ini),” menurut kenyataan itu, yang memetik Abang Johari  di majlis makan tengah hari bersama para sarjana Oxford yang menghadiri majlis pelancaran itu.

OCIS, di bawah naungan bekas Putera Wales dan kini Raja Charles III, adalah pusat bebas Universiti Oxford yang diiktiraf dan badan amal pendidikan berdaftar yang bertujuan menggalakkan kajian ilmiah tentang Islam dan dunia Islam.

Abang Johari dalam lawatan kerja lima hari ke London sejak Jumaat lepas.

Antara yang mengiringi beliau dalam lawatan itu adalah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan timbalan-timbalan menteri negeri.

— BERNAMA