Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff merasmikan majlis penutupan calik halal Malaysia bersama Imam peringkat kebangsaan 2023, hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik saranan kerajaan agar satu mekanisme perlu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, beberapa perbincangan sudah dibuat bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkaitan Persijilan Halal itu pada April lalu.

“Kita telah ada beberapa tindakan serta perbincangan dengan pihak MPC, antaranya meneliti prosedur yang mana kita boleh cuba memudahkan tanpa berkompromi dengan keperluan syariah dan juga standard halal.

“Kita juga bersama MPC ada langkah tertentu iaitu mematuhi keperluan ISO/IEC 17065, (pengiktirafan akreditasi yang diberikan Standards Malaysia selaku Badan Standard Kebangsaan dan Badan Akreditasi Kebangsaan).

“Selain itu, JAKIM dan MPC juga menambah baik urusan dalam proses persijilan halal dengan melakukan fast track dan whitelist kepada pemohon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Celik Halal Malaysia bersama Imam peringkat kebangsaan 2023 di sini,hari ini.

Pada Mac lalu, Mesyuarat Majlis Halal Malaysia sepakat bersetuju satu mekanisme atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran sijil halal ketika ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diluluskan berikutan beberapa kekangan termasuk kerenah birokrasi.

Jelas Hakimah, bukan semua permohonan mengambil masa yang lama untuk proses pengeluaran sijil halal, sebaliknya hanya melibatkan kes-kes tertentu sahaja iaitu berlaku ketidakaturan dalam permohonan.

“Kita tidak nafikan ada berlaku juga (kelewatan). Piagam pelanggan yang kita tetapkan adalah sebulan selepas pihak syarikat membuat pembayaran. Jadi ia akan masuk dalam proses pengauditan tapi kelewatan itu kita lihat ada kaitan dengan pematuhan industri sendiri.

“Sebaik kita buka audit, berlaku ketidakaturan dan apabila berlaku perkara itu, sudah tentu kita memberi tempoh masa untuk mereka membuat perbetulkan dan sesetengah pemohon mengambil masa yang lama, memohon pelanjutan tempoh dan sebagainya.

“Kita sebagai pihak yang ingin membantu mereka ini, kita memberi peluang untuk mereka ambil masa menutup kketidakatura tersebut. Itu antara antara faktor melewatkan proses pengeluaran sijil halal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Selangor antara negeri yang memohon  pengeluaran sijil halal JAKIM tertinggi selepas perintah kawalan pergerakkan ditamatkan. – MalaysiaGazette