Shariman.

LANGKAWI – Polis telah merakamkan keterangan ibu-bapa kanak-kanak lelaki yang memandu sebuah kereta sehingga terbabas di Jalan Bukit Tangga, Titicawang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, keterangan ibu bapa kanak-kanak berusia enam dan tiga tahun itu selesai dirakam tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

“Hasil siasatan mendapati bapa kanak-kanak itu berusia 28 tahun merupakan peniaga kedai runcit manakala isterinya, suri rumah berusia 22 tahun.

“Kita telah selesai rakam keterangan pasangan itu dan siasatan lanjut akan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Shariman, kedua-dua kanak-kanak itu telah dibenarkan pulang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Budak 6 tahun pandu kereta, polis buka kertas siasatan ibu bapa cuai

Terdahulu, dua kanak-kanak ditemui memandu sebuah kereta Toyota Vios sebelum terlibat dalam kemalangan.

Dalam kejadian pukul 11.25 malam itu mengakibatkan budak lelaki berusia enam tahun cedera ringan pada dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kanak-kanak itu dilaporkan mamandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. – MalaysiaGazette