Home Utama Budak 6 tahun pandu kereta, polis buka kertas siasatan ibu bapa cuai

Budak 6 tahun pandu kereta, polis buka kertas siasatan ibu bapa cuai

LANGKAWI – Seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga, Titicawang di sini, malam tadi.

Kejadian jam 11.25 malam itu mengejutkan penduduk kampung yang menyelamatkan mangsa apabila mendapati kereta jenis Vios itu dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya berusia tiga tahun.

Tular gambar kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu kereta milik keluarga bersama adiknya berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kereta berkenaan dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer oleh kanak-kanak berkenaan dari rumahnya dari arah Ulu Melaka ke Nyior Chabang sebelum terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang lampu.

Katanya, hasil siasatan mendapati ketika kejadian bapa kepada dua kanak-kanak itu sedang tidur manakala ibunya berada dalam bilik air.

Penduduk kampung menyelamatkan pemandu berusia enam tahun yang terlibat dalam kemalangan bersama adiknya di Langkawi, Kedah malam tadi.

“Akibat kejadian itu, pemandu luka pada dagu manakala adik lelakinya tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Keadaan kereta yang dipandu kanak-kanak lelaki tersebut selepas terlibat dalam kemalangan.

Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan penduduk kampung menyelamatkan mangsa kemalangan terkejut apabila pemandu dan penumpang kereta berkenaan merupakan dua kanak-kanak lelaki.

Berdasarkan rakaman itu, pemandu cilik tersebut mendakwa memandu kereta milik keluarganya untuk pergi ke kedai. – MalaysiaGazette