Azam Baki

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan merupakan antara kementerian yang terlibat dalam laporan beberapa agensi kerajaan yang mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangannya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam masa terdekat bagi memberikan penjelasan mengenai laporan tersebut.

“Saya bersedia untuk menjelaskan perkara-perkara secara terperinci tentang laporan yang tidak diambil tindakan jtu.

“Jadi MOT (Kementerian Pengangkutan) salah satu yang terlibat dalam laporan itu, saya bersedia berjumpa dengan menteri berkenaan untuk menjelaskannya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi di Sri Satria, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Azam berkata, pengabaian yang didedahkannya baru-baru ini adalah berkenaan tindakan serius terhadap salah laku dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Beliau mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan.

Sementara itu, Azam mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memperkenankan lanjutan kontrak jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menasihatkan YDPA untuk memperkenankan lanjutan kontrak jawatannya itu.

Beliau beriltizam untuk meneruskan usaha memerangi rasuah secara profesional dan berkesan.

“Misi saya akan meneruskan usaha mencegah rasuah secara berkesan dan profesional dan strategi yang telah kita tetapkan akan diteruskan.

“Iltizam saya untuk meneruskan usaha ini dengan lebih bersungguh-sungguh lagi,” ujarnya.

Perkhidmatan Azam di SPRM dilanjutkan berkuatkuasa Jumaat ini. – MalaysiaGazette