Che Rahim Che Leh (kiri) bersama isteri antara peneroka Felda Kerteh 6 yang menyertai inisiatif Wakaf Tandan Sawit. Foto: Felda

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui Waqaf Felda memperkenalkan inisiatif Wakaf Tandan Sawit bagi membolehkan warga peneroka menyumbang kepada institusi wakaf ini dengan sasaran kutipan sebanyak RM19.2 juta setahun.

Felda dalam kenyatan hari ini memaklumkan sebelum ini sumbangan kepada Waqaf Felda dilakukan menerusi sumbangan tunai dan potongan pendapatan bulanan warga Felda.

“Wakaf Tandan Sawit itu merupakan cetusan idea warga peneroka itu sendiri dan telah bermula di Felda Kerteh 6, Terengganu dengan tandan sawit diwakafkan dan nilai jualannya disumbangkan ke Waqaf Felda.

“Peningkatan hasil ladang dengan purata produktiviti daripada 17.29 tan per hektar pada 2021 kepada 19.43 tan per hektar pada tahun lalu, telah mendorong peneroka meningkatkan amalan jariah melalui sumbangan sedekah serta wakaf,” katanya.

Menurut kenyataan itu, peneroka yang berhasrat mewakafkan tandan sawit boleh membuat permohonan dengan Felda serta menyatakan bilangan tandan sawit segar sebelum dihantar ke kilang.

Bilangan tandan sawit yang masak seterusnya akan diasingkan, ditimbang dan jumlah nilai daripada tandan tersebut akan diwakafkan serta dipindahkan ke akaun Waqaf Felda bagi pihak peneroka.

Katanya, pelaksanaan Wakaf Tandan juga menyokong usaha kerajaan yang menyasarkan wakaf sebagai instrumen yang mampu menyumbang sehingga 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

Felda turut yakin inisiatif berkenaan mendapat sokongan penuh warga peneroka dan membuktikan kesediaan mereka sebagai komuniti berdikari yang progresif, selain bersama-sama memperkasakan institusi wakaf dan menyokong agenda pembangunan negara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast