Fadillah Yusof

PUTRAJAYA – Malaysia akan bertemu kepimpinan Kesatuan Eropah (EU) bagi mendapatkan penjelasan dan jaminan bahawa minyak sawit yang dihasilkan pekebun kecil di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak terjejas dengan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pertemuan tersebut juga merupakan usaha untuk memberi penerangan terhadap pematuhan kelestarian alam sekitar yang dilaksanakan dan diperjuangkan oleh industri sawit dalam negara.

“Pertemuan itu termasuk dengan pihak industri untuk mendapatkan penjelasan. Kita juga tidak mahu akan ada tindakan semberono bila produk kita sampai di sana disekat dan sebagainya.

“Ia juga sebagai tuntutan untuk kita memahami antara satu sama lain bahawa di Malaysia, kita memberi jaminan bahawa pematuhan alam sekitar peringkat antarabangsa termasuk kos upah dan sebagainya dilaksanakan.

“Sebab itu kita wujudkan standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Itu sendiri demi memastikan alam sekitar tidak diceroboh,” katanya,

Fadillah yang juga Menteri Perdagangan dan Komoditi menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, di sini, hari ini.

Menurut beliau, adalah tidak wajar untuk negara lain khususnya EU melabelkan Malaysia sebagai negara berisiko tinggi.

Tambah beliau, usaha tersebut merupakan kerjasama yang digerakkan bersama Indonesia dan apa yang dicadangkan ialah ia diperjuangkan di peringkat ASEAN.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Jokowi Widodo berkata, negara itu dan Malaysia perlu bersama-sama menjadi rakan kongsi untuk bekerjasama memerangi lobi antiminyak sawit yang dilaksanakan EU ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast