mohd puad zarkashi agenda Melayu
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin rakyat tidak lagi mempedulikan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap jujur atau sebaliknya dalam memperjuangkan agenda Melayu.

Beliau berpandangan, mereka yakin kejujuran perjuangan Melayu Dr Mahathir tidak lagi efektif kerana masanya sudah berakhir.

“Sejujurnya rakyat lebih berminat untuk tahu apa agenda perjuangan Melayu Khairy Jamaluddin. Mesti ada kan?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kelmarin, Khairy yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menyatakan bahawa beliau percaya Dr Mahathir jujur dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai ultra Melayu dan bapa nasionalis politik Melayu seperti yang dibuktikan melalui tulisannya dalam buku The Malay Dilemma.

Baru-baru ini, Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah mencetuskan Proklamasi Orang Melayu sebagai platform meneruskan perjuangan agenda Melayu.

Proklamasi tersebut telah ditandatangani oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid. – MalaysiaGazette