Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang komited memulihara  Harimau Malaya dengan mewartakan tanah rizab harimau Diraja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pewartaan itu membabitkan tahan seluas 92,649.33 hektar yang dijadikan Hutan Perlindungan Hidupan Liar melalui Siar Warta  bertarikh 4 Mei lalu.

”Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah melaksanakan pewartaan fasa pertama ke atas kawasan Hutan Tadahan Air dan Hutan Perlindungan Tanah di keseluruhan Hutan Simpan Gunung Aais dan Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan.

“Selebihnya pula, kita akan laksanakan menerusi fasa kedua. Kita seharusnya berbangga kerana rizab ini merupakan yang pertama di Malaysia.

“Kawasan rizab ini akan menjadi salah satu daripada projek karbon kredit di bawah skim Malaysian Forest Fund ke arah meningkatkan usaha-usaha konservasi hutan kita secara kolektif,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) Negeri Pahang di Lanchang, Temerloh seluas 80 hektar juga membuktikan kerajaan negeri serius dalam melindungi kepupusan Harimau Malaya.

Pusat konservasi yang dibina dengan kos RM42.25 juta adalah selaras dengan Kempen Selamatkan Harimau Malaya (SHM) mula beroperasi pada 1 Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast