Anwar Ibrahim

SATU lagi detik bersejarah akan dicipta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Selepas 26 tahun, Anwar akan kembali menyampaikan ucapan di Dewan Merdeka sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

Dewan Merdeka merupakan lokasi perhimpunan agung parti terbesar Melayu, UMNO pada setiap tahun. Ia pernah mendapat jolokan dewan keramat orang Melayu.

Kali terakhir Anwar berucap di pentas tersebut adalah pada Perhimpunan Agung UMNO 1997. Ketika itu beliau Timbalan Presiden UMNO.

Ucapan itu setahun sebelum dia dipecat oleh Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada parti atas dakwaan salah laku seks.

Dalam ucapan yang boleh disoroti di YouTube antara lain, Anwar bercakap mengenai surat layang terhadap beliau.

“Orang-orang tua, tuan haji ada cakap (sambil) menangis, mengapalah Anwar berpolitik sampai macam ini. Apa nak jadi.

“Jadi saya pun sedih juga. Surat layang ini bukan perkara baru. Banyak kali. Bertubi-tubi. Macam-macam judul ada. Tapi kali ini nampak lebih sangat.

“Sudah saya buat laporan polis pada 15 Ogos (1997), saya berterima kasih terutama kepada (Datuk Seri Dr. Wan) Azizah. Dia kata, you tahu politik macam itukan. Keluarga, rakan-rakan yang bersimpati dan buat sembahyang hajat sebagainya,” kata Anwar.

Sebagai manusia, Anwar terasa hati dengan sebaran fitnah yang dilakukan.

“Akar nibong meresap, akar mati dalam dalam perahu, Terbakar kampung kelihatan asap, Terbakar hati siapa tahu,” jelasnya secara berpantun.

Anwar berkata, orang yang menyebarkan fitnah seperti cerita burung yang menjadi botak akibat diketuk oleh tuannya.

Burung tersebut pada mulanya pandai bercakap namun akibat asyik diketuk burung itu kemudiannya membisu.

“Satu hari tok guru datang. Ahli falsafahlah katakan. Kepala dia botak. Jadi burung itu (mendapat) semangat semula.

“Dia kata memang saya tunggu sekian lama, kita ini rupanya senasib. Tuan berapa kali kena ketuk kepala?

“Orang yang buat fitnah, surat layang, khabar angin palsu macam burung botak. Dia kerja tu, dia ingat kita kerja itu. Dia kalau kaki judi, kita (pun) mesti kaki judi. Ini masalah kita,” kata Anwar.

Selepas 26 tahun, Anwar akan kembali menggegarkan Dewan Merdeka dengan ucapan yang dinanti-nantikan oleh semua anggota parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau tampil berucap sebagai Perdana Menteri berbanding ketika ‘dihalau’ secara terhina daripada UMNO yang hanya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Hari ini sudah tentu Anwar tidak akan bercakap mengenai UMNO dan usaha-usaha untuk memperkuatkan parti terbesar orang Melayu itu.

Topik mengenai untung nasib UMNO telah lama ditinggalkan Anwar selepas beliau dipecat dan dipenjarakan. Tambahan ketika ini Anwar mempunyai parti yang ditubuhkan sendiri dan menjadi  Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Parti tersebut kini menjadi antara parti berpengaruh di Melaysia.

Anwar juga tidak mungkin akan mengungkit mengenai kisah surat layang, fitnah yang dilemparkan kepadanya 26 tahun lalu dan cerita burung botak juga tidak mungkin akan diulang hari ini.

Agenda lebih penting adalah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bersatu-padu demi kepentingan rakyat dan negara.

Selepas enam bulan parti-parti yang pernah bermusuh kini boleh duduk dalam satu dewan membincangkan isu mengenai rakyat.

Buat pertama kali pemimpin dan ahli PKR, DAP dan Amanah yang menjadi musuh utama UMNO berada dalam Dewan Merdeka untuk mengikuti ucapan Anwar.

Mungkin ada simbol dan makna tersendiri mengapa Kerajaan Perpaduan memilih Dewan Merdeka yang menjadi sebagaian ibu pejabat UMNO sebagai lokasi konvensyen.

Ini kerana persidangan seperti itu boleh dilakukan di tempat lain terutama di ibu pejabat parti yang memiliki kerusi paling banyak di Dewan Rakyat berbanding UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi.

Bukanlah menjadi rahsia ada akar umbi UMNO yang terluka kerana parti itu memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan terutama DAP.

Rasa rajuk ini mungkin dapat meredakan perasaan tiga juta ahli  selepas melihat pemimpin yang bermusuhan dengan UMNO sanggup masuk ke dewan keramat parti itu atas nama membina semula negara.

Apa yang penting mereka mahu melihat, adakah tindakan yang diambil oleh Mahathir terhadap pemimpin UMNO terutama Datuk Seri Najib Razak ketika pemerintahan PH 1.0 akan diteruskan oleh Anwar.

Anwar yang mempunyai DNA UMNO tentu memahami keresahan dan kegelisahan yang berada dalam benak akar umbi UMNO yang berjumlah lebih tiga juta orang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast