Mohd Ali (tengah) memberikan peralatan penyelamatan kepada Muhamad Danish Hakim, dan Nurul Anisah Ilya yang dipakai kali terakhir arwah bapa mereka, Dalam kejadian 20 Oktober 2021, Mohd. Diya Che Jusoh yang meninggal dunia selepas tergelincir sebelum ditolak arus deras ketika menjalankan kerja memasang tali untuk menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Melaka, pada Oktober 2021.

MELAKA – Tiada apa yang lebih memilukan Noraida Che Noh, apabila melihat dua anaknya mendakap peralatan penyelamat dipakai arwah suaminya yang terkorban ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di sini dua tahun lalu.

Dalam kejadian 20 Oktober 2021, suami Noraida, Mohd. Diya Che Jusoh yang ketika itu berusia 46 tahun meninggal dunia selepas tergelincir sebelum ditolak arus deras ketika menjalankan kerja memasang tali untuk menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Hari ini, buat pertama kalinya, dua anak allahyarham, Muhamad Danish Hakim, 14, dan Nurul Anisah Ilya, 11, diberikan dua alat kelengkapan itu sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini hari ini.

Pemberian itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sambil diperhatikan ribuan jemputan sehingga mengundang sebak.

Noraida, 41, ketika ditemui pemberita berkata, walaupun sudah dua tahun berlalu, tragedi hitam itu meninggalkan kesan yang amat mendalam terutama anak bongsunya, Nurul Anisah.

“Memang kami amat sebak hari ini apabila diberikan topi dan jaket keselamatan yang dipakai arwah ketika dia berusaha menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Putat pada 20 Oktober 2021.

“Nurul Anisah sangat manja dengan arwah sebab itu dialah yang paling terkesan,” katanya sebak.

Mengulas lanjut, suri rumah itu berkata, kesudian Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain mengambil anak bongsunya itu sebagai anak angkat sedikit sebanyak mengubat kerinduan pada arwah.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada JBPM kerana tidak pernah lekang memberi pelbagai bentuk sokongan terutama kepada empat anak-anak kami.

“Malah sampai ke saat ini, JBPM sentiasa membantu dari sudut pendidikan anak-anak termasuk anak sulung yang kini belajar di Kolej Komuniti dalam jurusan automotif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast