KUANTAN – Selepas kejayaan rakyat Malaysia mengumpul RM9 juta bagi membantu perubatan Naail baru-baru ini, sinar harapan buat bayi menghidap penyakit sama, Muhammad Athif Fahri yang berusia 15 bulan kini semakin ‘terang’.
Menurut Mohd Farhan Mohd Sait, 35, bapa kepada Athif Fahri, anak ketiganya itu mungkin hanya mempunyai lapan bulan untuk hidup kerana turut menghidap Spinal Muscular Altrophy (SMA) Type 1 seperti adik Naail.
“Athif sekarang satu tahun tiga bulan, lagi lapan bulan dijangka hayat dia jika tidak menerima ubat genetik itu tapi untuk mendapatkan ubat tu, jika dana mencukupi pun ambil masa yang lama juga, dalam dua hingga tiga bulan.
“Jadi, pihak keluarga kami merayu sangat agar bantuan untuk anak kami sebanyak RM9 juta berjaya dikumpul. Untuk ubat sahaja bukan untuk tujuan lain,” luah Farhan sambil menahan sebak.
Ini kerana, peluang bayi dalam kondisi serupa untuk hidup menjangkau umur dua tahun amat tipis jika tidak diberikan ubat Zolgensma (Gene Theraphy) yang harganya mencecah USD2.1 juta bersamaan dengan RM9 juta lebih.
“Buat masa ini, Athif bergantung kepada ubat sementara dengan kos RM40,400 sebulan. Alhamdulillah dengan sumbangan orang ramai, dapat beli botol ke tujuh. Tapi doktor beritahu kalau teruskan, dia perlu makan seumur hidup,” katanya lagi.
Farhan berkata demikian ketika ditemui bersama isterinya, Nur Azizah Zamri, 33 yang menerima kunjungan Yayasan Misi Rakyat, di kediaman mereka di Permatang Badak hari ini.
Pasangan itu turut meluahkan perasaan terharu mengetahui kejayaan kutipan dana RM9 juta empat hari lalu oleh Yayasan Misi Rakyat buat adik Naail atau nama sebenar, Wan Muhammad Naail yang menghidap penyakit yang sama.
“Itu yang membuatkan kami lebih yakin, rakyat Malaysia sangat bermurah hati, sangat baik. Cuma kena dengan caranya seperti diusahakan Misi Rakyat ini,” tambah Farhan.
Sementara itu, beliau bersyukur kerana diberitahu sebanyak RM1.4 juta telah berjaya dikumpul menerusi Misi Rakyat setakat tengah hari tadi sejak dua hari dilancarkan.
“Memang tak dapat nak balas jasa seluruh rakyat Malaysia. Kami sendiri pun tak sangka dalam dua hari ini boleh terkumpul sampai RM1 juta.
“Alhamdulillah sangat. Kami orang biasa, bukan siapa-siapa tapi rakyat Malaysia boleh beri sokongan sampai begini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata, usaha mengumpulkan dana untuk Athif bukan perkara mustahil.
Lebih-lebih lagi setelah melihat kejayaan pertama mereka ke atas adik Naail baru-baru ini.
Beliau mahu masyarakat untuk sekali lagi bersatu dan mengumpul dana RM9 juta agar Athif dapat menerima ubat yang diperlukan supaya dapat meneruskan hidup seperti bayi lain.
“RM9 juta sebenarnya bukan jumlah yang banyak dan ini bukan soal duit. Tiada ada yang lebih besar daripada penyatuan kita sebagai masyarakat.
“Tiada siapa pun yang menyumbang sejumlah RM1 juta. Masing-masing bagi apa yang mampu. Terlalu ramai yang bagi RM1. Tapi itu sahaja yang mereka mampu,” katanya.
Justeru, bagi orang ramai yang mahu menyumbang dana menerusi Yayasan Misi Rakyat boleh melayari laman sesawang misirakyat.com atau muat turun aplikasi Misi Rakyat di App Store atau Google Play untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette
BERITA BERKAITAN:
Jururawat perlu RM9 juta untuk rawat anak menghidap Atrofi Otot Spina
Boleh sy dptkan no tel MOHD FARHAN BIN MOHD SAIT.