Guru, Syahidah Najwa Nazri memeluk erat salah seorang muridnya yang sebak pada hari terakhir sesi persekolahan penggal ketiga 2022/2023 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan, Cheras, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2023.

GURU, sir, teacher, ustaz, ustazah, mua’llim, pensyarah, doktor dan profesor meskipun perkataan yang berbeza ejaannya, namun mereka menggalas tanggungjawab yang sama iaitu membakar diri demi menerangi orang lain. Mereka umpama nakhoda yang membawa kita berlayar mencari pengetahuan, membantu kita dan berfikir dengan kreatif, serta membentuk masa hadapan anak bangsa.

Berharganya seorang guru kepada kita atas setiap tunjuk ajar mereka tanpa lelah. Sebagai pelajar, ungkapan rasa terima kasih kita yang tulus kepada mereka perlu kita zahirkan bukan dengan pemberian hadiah pada hari guru, tetapi cukup dengan segulung kejayaan dan doa yang ikhlas daripada pelajar buat para pendidiknya.

Guru adalah orang yang berkorban masa dan kehidupannya semata-mata untuk memastikan ilmu yang dikongsi sampai kepada kita. Mereka memberi dan berkongsi pengetahuan dengan penuh semangat dan kesabaran. Kita dapat lihat masa kini guru juga sebolehnya cuba menjelaskan konsep atau topik yang kompleks atau pembelajaran yang mungkin dirasakan agak berat dengan cara yang paling mudah untuk difahami, dan membangkitkan minat kita dalam pelbagai bidang yang dipelajari. Terima kasih kepada guru yang telah menyampaikan pengetahuan mereka kepada kita, yang telah memperkenalkan gerbang dunia yang luas melalui pelajaran yang diajarkan.

Selain memberikan pengetahuan, guru turut sama menggalas tanggungjawab dalam mendukung pertumbuhan dan perkembangan peribadi selepas kedua ibu dan bapa kita sendiri yang merupakan ‘guru pertama’ kita di rumah. Mereka adalah insan yang dapat melihat potensi terbaik dalam diri kita dan sentiasa memberi motivasi kepada kita untuk mencapai semua impian melalui bakat yang kita ada. Guru memberikan bimbingan dan membantu kita terus ke hadapan menjadi individu yang lebih baik, walaupun kadang kala guru turut memberi teguran dan tentangan terhadap apa yang sedang kita lakukan.

Pastinya ia disebabkan sesuatu yang mungkin terdapat keburukan atau kesilapan yang tidak kita sedari. Bersyukurlah kerana masih ada insan yang Tuhan hadirkan untuk menegur kesilapan kita, kerana jika sudah tiada seorang pun insan seperti ini, pastinya kita akan terus lalai dan leka dengan kesilapan yang sedang kita lakukan. Terima kasih kepada guru yang telah mendukung dan menggerakkan kita dalam setiap langkah perjalanan kita, yang telah memberikan dorongan dan keyakinan bahawa kita mampu mencapai apa pun yang kita impikan.

Selain sebagai penyampai pengetahuan, guru juga mempunyai peranan seperti ibu bapa kedua kepada para pelajar dalam membentuk karakter dan nilai-nilai diri kita. Mereka menjadi insan yang sentiasa memberi teladan yang boleh dijadikan sumber inspirasi, mengajar tentang integriti, etika kerja, rasa hormat, dan nilai-nilai moral yang penting dalam kehidupan. Guru mengajar kita untuk berfikir dengan kreatif, bersifat empati sesama insan, dan menjadi seorang yang bertanggung jawab.

Terima kasih kepada guru yang telah berkorban waktu dan sedaya upaya mereka untuk membantu kita sentiasa menjadi individu yang berkualiti dan memiliki sifat-sifat positif untuk dimanfaatkan kepada masyarakat suatu hari nanti. Hormatilah mereka para guru kita sentiasa dan di mana pun jua bukan hanya di dalam kelas semata. Susunlah tutur bicara kita para pelajar sebaiknya umpama tutur bicara bersama kedua orang tuamu ketika berkomunikasi dengan mereka baik secara atas talian atau pun di bumi yang nyata.

Guru adalah pahlawan yang tidak terlihat daripada segi penampilan pemakaian seharian mereka. Kita sememangnya tidak pernah nampak mereka dengan keris, tanjak mahupun lembing sepanjang bergelar pahlawan. Namun, mereka adalah, pembimbing, dan sumber inspirasi dalam kehidupan kita. Mereka mendedikasikan pengetahuan yang mereka ada kurniaan dari Tuhan dengan penuh keikhlasan baik dari segi waktu, tenaga, dan hati mereka untuk membantu kita mencapai yang terbaik dalam diri kita. Jangan pernah kita lupa untuk mengungkap rasa terima kasih yang tulus kepada guru-guru kita, kerana mereka telah memberikan pengorbanan dan usaha yang tidak terganti dengan apa-apa yang bernilai dalam hidup kita untuk memastikan kita terus berjaya. Selamat hari guru buat semua tenaga pengajar di seluruh tanah air Malaysia!.

Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast