PEKAN – Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) meraikan sambutan bulan Syawal bersama lebih 100 anak-anak tahfiz di Dewan Kompleks Islam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, anak-anak tahfiz terus dirai dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan agama di negeri itu.
”Syawal kali ini meraikan anak-anak tahfiz dengan memberi bantuan sumbangan duit raya, kita di Pahang terus menyokong perjuangan pengajian madrasah ini di mana ada 101 pusat tahfiz yang berdaftar dan 80 lagi dalam proses pendaftaran.
”Semua pelajar tahfiz dibantu, tidak tercicir malahan mereka yang mengikuti pengajian maahad dan pondok di negeri ini diberi elaun RM2,400 setahun selama tiga tahun pengajian,” katanya.
Asmadi berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette semasa Majlis Mesra Adilftiri MUIP yang dihadiri lebih 500 tetamu jemputan.
Sementara itu, Muhammad Norazmi, 13, berkongsi pengalaman pertama kali meraikan Syawal bersama warga pondok dan MUIP kerana baru memulakan pengajian awal tahun lalu.
”Terima kasih MUIP beri sumbangan duit raya selain bantuan makanan kepada kami. Nak simpan duit raya dan bantuan lain yang diberikan untuk kegunaan belajar,” katanya.
Bagi Mohd Afiq Rayyan, 13, pula, dia merupakan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Garuda yang baru sahaja sehari menjejakkan kaki ke dunia pengajian madrasah juga teruja dapat menyertai majlis sambutan Syawal bersama rakan-rakan.
”Jamuan raya meriah, saya baru sahaja masuk pondok semalam, hari ini dapat sertai majlis rasa bersyukur dapat duit raya,” katanya.
Majlis disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain.
Pada majlis itu, Tengku Amir selaku Timbalan Yang Dipertua MUIP mengurniakan sumbangan duit raya kepada jemputan 108 pelajar dari lima buah pusat tahfiz di daerah Pekan.
Antara pelajar tahfiz yang hadir ialah dari Maaahd Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Maahad Tahfiz Tok Montok Madrasah Hujjatul Islam, Pusat Pengajian Ribath Sullamuttaufiq dan Maahd Tahfiz Ummul Qura. – MalaysiaGazette