payung rahmah
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama Ketua Pegawai Eksekutif Food panda, Sayantan Das bergambar bersama rakan penaja selepas melancarkan Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Pejabat Foodpanda, Bangsar South, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) akan mengadakan perjumpaan khas dengan pelbagai pihak yang menjayakan Inisiatif Payung Rahmah selepas enam bulan pelaksanaannya kelak.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, matlamat perjumpaan yang dijangka diadakan selepas Jun depan  untuk membincangkan hala tuju serta merangka pelan jangka sederhana dan jangka panjang inisiatif tersebut.

Menurut beliau, ia juga membolehkan KPDN melihat segala tindakan, kesan dan pandangan berkaitan Inisiatif Payung Rahmah secara komprehensif dan holistik.

“Malah KPDN terbuka untuk menerima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak bagi memastikan enam bulan seterusnya kita dapat perbaiki untuk kita mengambil semua pandangan itu.

“Proses nilai tambah itu saya rasa lebih penting supaya dari segi kemampanan dapat kita pertahankan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama foodpanda Malaysia di Bangsar South  hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das.

Nora Amirah Mohamad Akhir (kiri) bersama Dzarith Miersya Mohd Dzulbahar menunjukkan aplikasi yang menawarkan penghantaran Menu Rahmah ketika pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Pejabat foodpanda, Bangsar South, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 MEI 2023.

foodpanda Malaysia akan melaksanakan empat inisiatif di bawah Program Payung Rahmah yang terdiri daripada Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah.

Syarikat penghantaran makanan tersebut memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam Menu Rahmah daripada aplikasi atau laman sesawangnya pada harga mampu milik iaitu RM5 atau kurang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad semalam bahawa pemberian subsidi pukal untuk gula pasir dihentikan, Salahuddin memberitahu, keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan gula sentiasa mencukupi di pasaran.

“Yang penting, rakyat dapat membeli gula dengan harga yang kita tetapkan,” jelasnya.

Beliau juga berharap Shahrir yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memahami bahawa situasi sekarang adalah berbeza dengan zamannya dahulu. – MalaysiaGazette