KUALA LUMPUR – Bagi seorang guru dan kini bergelar pempengaruh, Mohd Khariri Mohamad Ramli, dia tidak pernah meminta untuk menjadi mak nyah.
Ini kerana katanya yang mesra dipanggil Cikgu Ery, dugaan menjadi golongan itu cukup hebat.
Pernah melalui kehidupan sebagai seorang ‘mak nyah’ selama bertahun-tahun, dia sudah lali dipandang hina oleh segelintir masyarakat.
Lebih malang, dia terus dipandang serong apabila nekad berubah mengubah cara hidup dengan kembali menjadi lelaki sejati.
Cikgu Ery berkongsi kisah hidupnya menerusi buku berjudul Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah dengan harapan agar sisi hidupnya yang penuh liku dan kegelapan itu dapat menjadi iktibar buat masyarakat.
Karya tulisan sendiri dalam buku itu sudah lama siap berdasarkan pengalamannya masa lalu sebagai mak nyah dan akhirnya ia berjaya diterbitkan dalam usaha memperbetulkan stigma masyarakat terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang ingin berubah.
Kata Cikgu Ery, dia tidak berniat hendak menunjuk baik apabila berubah ke arah positif tetapi sekadar berkongsi pengalamannya sendiri.
“Saya masih ingat dalam proses mahu berubah, saya menerima kata-kata negatif. Paling terkesan di hati, saya pernah digelar ‘isi neraka’ kerana saya merupakan golongan seperti ini dan ibaratnya saya ini tidak layak masuk syurga.
“Selain itu apabila golongan mak nyah masuk masjid, saya mula dipandang pelik sedangkan kami juga mempunyai keinginan mahu mendalami agama,” katanya yang berusia 46 tahun.
Cikgu Ery menambah, buku itu bukan diterbitkan untuk golongan mak nyah sahaja tetapi buat mereka yang hendah berubah dari sisi gelap ke positif seperti penagih dadah.
“Sebenarnya ramai yang mahu berubah kembali ke pangkal jalan namun usaha mereka terbantut gara-gara pandangan buruk segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
“Oleh kerana itu, saya terbitkan buku ini yang merangkumi aspek menyeluruh termasuk perkongsian kepada masyarakat mengenai cara menyantuni dan berdakwah kepada golongan LGBT atau sesiapa yang ada kisah silam,” katanya.
Cikgu Ery berkata, buku itu sesuai dibaca semua peringkat umur tidak kira remaja dan dewasa dan berharap buku itu mendapat sambutan supaya usaha dakwahnya dapat disebar luas kepada masyarakat pelbagai golongan.
“Saya mahu mendidik masyarakat menerusi buku kerana segelintir masyarakat di luar sana nak golongan LGBT berubah tetapi dengan cara memaksa.
“Ada rakan saya dalam komuniti itu yang memang hendak menjadi baik tetapi dilabel negatif apabila masuk masjid dan berada dalam masyarakat.
“Jadi, bahan bacaan santai ini diharap membuka mata masyarakat di luar sana. Buku ini tidak dijual di pasaran sebaliknya boleh dibeli secara terus dengannya.
“Kita terbitkan 200 naskhah untuk edisi pertama dan setakat ini sudah terima 100 pra tempahan,” katanya.
Sebelum ini, Cikgu Ery pernah berkongsi pengalaman sebagai mak nyah apabila dia pernah diperdagangkan sebagai pekerja seks oleh teman lelakinya selama enam tahun.
Dia turut mengakui mengambil pil dan suntikan hormon untuk jadi seperti wanita sambil mengakui kehidupan di universiti juga mempengaruhinya untuk lebih mengenali dunia mak nyah.
Selepas beberapa kali dikecewakan oleh ‘teman lelaki’ yang sering mengambil kesempatan sebagai pemuas nafsu, dia akhirnya nekad untuk meninggalkan kehidupannya yang penuh dengan maksiat itu.
Selepas berhijrah anak kelahiran Chemor, Perak ini mengakui bukan mudah kerana dia masih lagi berhadapan dengan rakan-rakan yang cuba mempengaruhi supaya kembali ke dunia mak nyah. – MalaysiaGazete