Amirudin Shari

SHAH ALAM – Peranan guru masih penting walaupun berdepan dengan perubahan digitalisasi, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Namun, kata beliau, guru harus sentiasa peka kerana perubahan itu berlaku dalam tempoh singkat dan memungkinkan pendidik ketinggalan daripada pembaharuan arus pendidikan.

“Saya yakin dan percaya peranan guru masih lagi penting walaupun sudah memasuki era digitalisasi. Cuma mereka perlu menguasai dan mengetahui apakah medium, bahan dan alat yang berada di sekitar.

“Ini kerana era ini sudah menjadi lumrah dalam hidup kita, murid dan anak-anak kita di rumah. Mereka tidak dapat lari dari terkena tempias ini walau kita cuba mengawal sekalipun.

“Situasi sekarang berbeza dengan zaman sebelum ini, yang mana untuk mendapatkan akses internet kita kena pergi ke kafe siber. Sekarang, semuanya sudah di hujung jari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2023 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu, guru diperdengarkan ceramah motivasi oleh Mufti Selangor, Prof. Madya Datuk Dr. Anhar Opir yang bertajuk ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’.

Amirudin turut mengingatkan guru, jika tidak bersedia dengan adaptasi perubahan itu, mereka akan tertinggal jauh terutama dari segi pencapaian bahan dan maklumat.

Sebaliknya, kata beliau, guru perlu mengambil kesempatan daripada perubahan itu untuk meningkatkan pengetahuan agar tidak janggal apabila berdepan dengan murid, yang ada antaranya sudah terlebih dahulu menguasai era perubahan digitalisasi.

“Kita tidak nafikan bidang pendidikan ini saban tahun berdepan dengan bermacam cabaran dan ia pula sentiasa berubah dengan perkembangan zaman.

“Perubahan ini sebenarnya merupakan satu kesempatan kepada kita untuk meningkatkan perkhidmatan dan memberikan peluang yang lebih baik serta terbaik.

“Sebagai contoh, ramai di kalangan kita merungut dan mungkin berada dalam keadaan sedikit tertekan apabila diarah duduk di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya tidak lama dulu,” katanya.

Namun, ujarnya, ada peluang dan kesempatan di situ yang harus diambil oleh guru dengan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri mahupun pusat menyediakan beberapa pakej rangsangan bagi meringankan beban mereka.

Kata beliau, pakej rangsangan itu adalah untuk menyelesaikan masalah mereka pada ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast