KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat bergelar Datuk ditahan reman kerana mengemukakan butiran palsu penyata penjualan emas yang mengakibatkan kerugian pembayaran royalti berjumlah jutaan ringgit kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua suspek iaitu lima lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 42 hingga 67 tahun ditahan pada tengah malam tadi di pejabat SPRM Tawau.
Jelas SPRM, semua suspek termasuk Datuk dan tiga pengarah syarikat dipercayai memperdaya jabatan kerajaan negeri dengan mengemukakan penyata penjualan emas yang mempunyai butiran palsu.
Ujarnya, penipuan dibuat melalui pakatan membabitkan dua syarikat yang mana semua suspek mempunyai kepentingan di dalamnya.
“Perbuatan itu dilakukan dipercayai untuk mengelak dan membayar royalti emas sebenar kepada Kerajaan Sabah terhadap hasil emas yang dilombong di sebuah daerah di Tawau.
“Syarikat milik Datuk tersebut dipercayai memperdayakan jabatan kerajaan apabila tidak melaporkan penjualan emas ratusan kilogram bernilai puluhan juta ringgit yang sepatutnya menyumbang pembayaran royalti kepada Kerajaan Sabah,” kata sumber SPRM.
Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu ke atas semua suspek selepas membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette