KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah digesa supaya campur tangan terhadap masalah bekalan elektrik di negeri berkenaan yang berlarutan dan dilihat semakin memburuk sejak kebelakangan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor bersuara membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk apabila hampir setiap hari berhadapan dengan tindakan catuan bekalan elektrik daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Sampai bila Kerajaan Sabah berdiam diri? Kerajaan negeri perlu campur tangan dalam perihal ini sebab ini meliputi seluruh Sabah, sampai hari ini tidak ada kenyataan rasmi daripada Ketua Menteri tentang masalah ini.
“Sudah tiba masanya Kerajaan Sabah campur tangan tentang catuan elektrik ini, jangan sampai nanti penduduk Sabah marah dan muak baru mahu bertindak, jangan terlalu lambat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Terdahulu Justin dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui pada petang tadi mengadakan pertemuan dengan wakil SESB bagi menyuarakan masalah berkenaan.
Jelas Justin, wakil daripada syarikat itu mendedahkan bekalan tenaga elektrik SESB tidak mencukupi dengan penggunaan semasa di negeri berkenaan.
Ujar beliau, situasi ini didorong oleh cuaca panas.
Justin mendakwa turut dimaklumkan oleh wakil SESB bahawa salah satu pengeluar tenaga bebas (IPP) milik pihak itu mengalami kerosakan sehingga mengakibatkan kekurangan bekalan elektrik untuk disalurkan kepada pengguna.
“Suhu yang agak tinggi itu adalah satu punca mengapa bekalan tidak cukup berbanding permintaan penggunaan yang lebih.
“Mengikut apa yang disebutkan tadi secara purata Sabah menggunakan sampai 950 hingga 980 megawatt (MW) setiap hari. Tetapi sejak bulan lalu, penggunaan elektrik kini mencecah lebih 1080 MW setiap hari.
“Dan bila kami teruskan bertanya isu ini, kami dimaklumkan bahawa ada satu IPP sedang mengalami kerosakan,” jelas beliau.
Sehubungan itu Justin berkata, Kerajaan Negeri Sabah perlu mengemukakan rancangan jangka masa pendek dan panjang demi membantu rakyat negeri di bawah bayu itu supaya tidak lagi terpaksa berhadapan dengan catuan bekalan elektrik.
“Jadi sebagai seorang wakil di Sabah, saya nak tanya apakah perancangan Kerajaan Sabah dalam perkara ini.
“Kerajaan negeri tidak boleh terlalu bergantung dengan SESB, kalau ini sudah menjadi satu krisis, kalau cakap pasal panas, kenapa kerajaan negeri tidak pernah buat pembenihan hujan sehingga hari ini?” soal beliau.
MalaysiaGazette difahamkan, catuan bekalan elektrik di negeri itu telah berlarutan selama lebih sebulan, lebuh buruk ada beberapa kawasan yang mengalami gangguan elektrik selama lebih enam jam.- MalaysiaGazette
Gangguan bekalan letrik yang sangat kerap di kawasan Kiulu, Tuaran bukan baru, ianya telah berlarutan sejak berpuluh tahun. Hujan atau tidak hujan gangguan letrik sangat kerap berlaku. Oleh itu, jangan jadikan cuaca panas ini sebagai penyebab. Pelbagai cara telah dilakukan
untuk memaklumkan masalah ini kepada pihak SESB termasuklah melalui Ahli Parlimen Tuaran YB DSP Madius Tangau namun tiada tindakan dari pihak SESB.
setuju tuan Camilus.
Tahun 1990 Saya berpindah dari Semenanjung ke Sandakan Sabah, masalah eletrik amat mendukacita sehingga sekarang tambahan lagi dgn masalah air yg tiada kesudahan….. aduhai sabahan