Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki di pusat itu, sejak tahun lalu.

MELAKA – Pengasas sebuah pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki di pusat itu, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, yang beristeri dua bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya masing-masing berusia 13 tahun, 14 dan 15 tahun.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii terhadap dua mangsa sama dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik di rumah guru Pusat Tahfiz Al-Islah Tanjung Minyak pada 20 Julai 2022 serta pertengahan Mac 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

Tertuduh yang diwakili peguam, Fahmy Sulaiman dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh menanggung dua isteri serta enam anak berusia antara satu tahun setengah hingga 13 tahun.

Hakim Darmafikri pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan di hadapannya, namun Mohd Sabri tidak membenarkan jaminan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Beliau tidak membenarkan jaminan bagi kesalahan amang seksual selepas bersetuju dengan hujahan Muhammad Nazrin bahawa tertuduh penah didakwa atas kesalahan sama pada 2019 namun masih mengulangi kesalahan sama selepas dilepas tanpa dibebaskan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengasas tahfiz terkenal di Melaka bersama adiknya yang juga warden pusat berkenaan ditahan selepas dipercayai terlibat melakukan jenayah seksual dan mendera enam pelajar lelakinya.

Kejadian itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa terhadap pengasas yang juga mudir pusat tahfiz berkenaan yang mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019. – MalaysiaGazette.