Ratusan para pekerja ladang memegang plakad tanda bantahan ketika berkumpul bagi membuat demostrasi aman Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) menuntut Enakmen Perumahan Pekerja Ladang dengan di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) Shah Alam Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 MEI 2023.

SHAH ALAM – Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) mendesak Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu perumahan masyarakat pekerja ladang dengan mewujudkan satu akta khas bagi melindungi kebajikan mereka.

Timbalan Pengerusi PSM, S.Arutchelvan berkata, ini kerana isu perumahan pekerja ladang masih tidak selesai kerana kerajaan negeri sebelum ini hanya mewujudkan polisi dan bukannya Enakmen Perumahan Pekerja Ladang.

Timbalan Pengerusi PSM, Arulchelvan bercakap pada sidang media pada demostrasi aman Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) menuntut Enakmen Perumahan Pekerja Ladang di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) Shah Alam Selangor. Foto MUHD NA’IM. 17 MEI 2023.

“Kita nak kerajaan laksanakan undang-undang Skim Perumahan Pekerja Ladang, hari ini tiada undang-undang, bila pekerja ladang berumur 60 tahun, mereka diusir keluar (dari ladang) walaupun sudah tiga dan empat generasi duduk di ladang.

“Bila mereka berusia 60 tahun, mereka terus diusir keluar dan pampasan yang mereka dapat faedah berhenti bekerja, paling banyak kalau bekerja 20 tahun RM20,000 tapi jarang mereka dapat.

“Mereka ini tak mampu untuk beli rumah sendiri kerana harga rumah sekarang tinggi paling minimum RM300,000 hingga RM500,00,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tuntutan itu kepada pejabat Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu Arul bersama lebih 150 pekerja ladang membuat demostrasi aman di luar Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Dalam pada itu, Arul berkata, JSML menuntut kerajaan negeri melaksanakan janji yang dibuat Dr Xavier Jayakumar ketika menjadi Exco pada 2012 yang mewujudkan badan bertindak dan membuat draf cadangan Rang Undang-Undang Enakmen Perumahan Pekerja Ladang (Negeri Selangor) 2021.

“YB Xavier berjanji enakmen itu akan dibentang di Dewan Undangan Negeri dan salinan dihantar kepada penasihat undang-undang Selangor untuk diteliti.

“Namun perkara ini tidak dilaksanakan,” katanya.

Katanya, desakan untuk mewujudkan undang-undang perumahan pekerja ladang sudah lama bermula di Selangor kerana polisi itu wujud sejak 1991 lagi.

“Selangor merupakan negeri pertama melaksanakan satu polisi untuk melindungi pekerja ladang yang mengalami pengusiran paksa kerana pembangunan.

“Polisi ini diperkenalkan semasa Tan Sri Muhammad Mohd Taib menjadi Menteri Besar Selangor pada 1991, kemudian menjadi polisi nasional semasa Tan Sri Lim Ah Lek menjadi Menteri Sumber Manusia pada 1995,” katanya.

Jelasnya, di Selangor sahaja, terdapat kira-kira 41 ladang mempunyai masyarakat pekerja ladang membabitkan kira-kira 60 keluarga setiap satu yang masih tidak mempunyai rumah sendiri.

“Ada ladang masih ada pekerja, ada ladang sudah dijual tapi pekerja belum keluar lagi, masih berjuang untuk rumah dan ada juga di beberapa tempat sudah dapat perumahan.

“Tapi majoriti isu perumahan pekerja ladang masih belum selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast