Abdul Fattah (kanan) melihat pameran produk koperasi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ANGKASA Melaka dan Suruhanjaya Koperasi Melaka di Melaka, hari ini.

MELAKA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan membantu Kemboja dan Filipina untuk mewujudkan koperasi sekolah model ala Malaysia di negara itu.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini, Kemboja sudah mengenal pasti dua buah sekolah untuk tujuan itu manakala Filipina telah mendapat persetujuan dasar pelaksanaannya.

Menurutnya, model koperasi sekolah di Malaysia akan menjadi contoh kepada dua negara berkenaan yang belum mempunyai koperasi sekolah berbanding terdapat lebih 2,500 koperasi sekolah di Malaysia.

“Kemboja dan Filipina telah bersetuju pada dasarnya meminta ANGKASA untuk bantu mereka mewujudkan koperasi sekolah model ala Malaysia di kedua-dua negara berkenaan.

“Sebanyak dua sekolah sudah di kenal pasti di Kemboja sementara Filipina sudah ada persetujuan dasar untuk melaksanakannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ANGKASA Melaka dan Suruhanjaya Koperasi Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Mengulas lanjut Abdul Fattah berkata, model koperasi sekolah di Malaysia menjadi contoh kerana 15 ahli lembaganya terdiri daripada gabungan tujuh guru dan lapan pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun.

“Model inilah yang akan kita perkenalkan kerana di negara lain, model mereka ahli adalah ibu bapa yang lebih kepada pengurusan sekolah.

“Mereka tak terapkan budaya keusahawanan sedangkan antara tujuan utama koperasi adalah untuk melahirkan generasi usahawan dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Tambahnya, ia juga bertepatan dengan sasaran Malaysia untuk menjadi negara usahawan menjelang 2030 selain mencapai hasrat ANGKASA untuk memastikan setiap negara ASEAN mempunyai koperasi sekolah. – MalaysiaGazette.