Telur ayam

KUALA LUMPUR – Bekalan telur ayam dalam negara kini dijamin mencukupi, malah melebihi permintaan pengguna, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkembangan positif itu susulan kerjasama antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan 11 pembekal utama telur ayam di seluruh negara, bagi mendapatkan bekalan yang mencukupi.

Jelau beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ketika ini FAMA mempunyai kapasiti untuk membekalkan sebanyak 1.33 juta biji telur ayam seminggu yang diedarkan terus ke outlet FAMA serta melalui kerjasama strategik dengan perantara pasaran.

“Saya telah mengarahkan agar pihak FAMA membuka lebih banyak pasar tani mengikut kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.

“FAMA juga telah diarahkan untuk membuka (pasar tani) mengikut nisbah penduduk, di mana FAMA harus mempunyai perancangan untuk membuka 1,391 pasar tani,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 18 MEI 2023.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, arahan itu tertumpu kepada kawasan berpendudukan tinggi di Semenanjung, manakala untuk Sabah dan Sarawak, pelarasan akan dilakukan di pasar tamu.

Selain itu, katanya, sehingga 8 Mei lalu, sebanyak 28.10 juta biji telur ayam telah dieadarkan kepada pengguna menerusi 369 outlet pemasaran FAMA seperti Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, dan Agrobazaar Kedai Rakyat.

“(Sebanyak) 59 peratus (16.58 juta biji telur ayam) daripada jumlah itu telah diedarkan melalui usaha pengaturan pasaran FAMA bersama usahawan pemasar,” ujarnya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bersasar, Ahmad Zahid berkata, ia telah dilaksanakan secara berfasa terhadap produk-produk tertentu.

“Mana-mana perkhidmatan ataupun produk untuk subsidi bersasar, kita telah jalankan. Terdapat beberapa langkah lain untuk subsidi bersasar yang dibentangkan kepada Kabinet, dan pelaksanaannya akan dilakukan mengikut tempoh waktu yang ditentukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya. – MalaysiaGazette