Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Selain menyinggung perasaan umat Islam, tindakan kerajaan Malaysia Madani menarik semula rayuan penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Rayuan baru-baru ini seakan-akan tidak menghormati titah Sultan Selangor pada 23 Mac 2021.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar berkata, selama ini, umat Islam bersatu mempertahankan kesucian agama daripada diperkotak-katikkan oleh musuh.

Bagaimanapun, tegas beliau, dalam isu penggunaan kalimah Allah, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sewenang-wenangnya melanggar kesucian Islam.

Justeru, beliau menyambut baik pendirian tegas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menolak dan membantah keputusan dibuat kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Katanya, MAIS selaku agensi agama Islam telah mengeluarkan kenyataan berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bertarikh 17 Mei lalu.

“Pemuda Pas Selangor menyeru rakyat negeri ini bersatu padu mempertahankan kesucian agama Islam daripada diperkotak-katikkan oleh musuh Islam di luar sana.

“Keputusan itu bukan sahaja menyebabkan umat Islam tersinggung malah berasa tercabar apabila isu ini dipolemikkan.

“Ini sekali gus menggambarkan sikap derhaka dan tidak menghormati titah baginda yang melarang penggunaan kalimah Allah di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Sukri berkata, Dewan Pemuda Pas Selangor menyokong MAIS dalam isu melibatkan kesucian agama Islam khususnya di negeri itu.

Ujar beliau, ketegasan yang telah dizahirkan oleh MAIS menunjukkan institusi agama Islam di setiap negeri perlu bertindak dan menyatakan keberanian dalam mempertahankan kesucian agama. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MAIS tidak setuju kerajaan tarik balik rayuan kes kalimah Allah