SHAH ALAM – Walaupun Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tetap tidak bersetuju tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes itu.
Hal itu dinyatakan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menegaskan pendirian kes itu bukan hanya berkaitan isu pentadbiran dan keselamatan, sebaliknya melibatkan akidah umat Islam dan pentadbiran agama yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai ketua agama negeri.
Beliau berkata, sebelum ini MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan bertindak sebagai sahabat mahkamah.
Bagaimanapun, katanya, MAIS terkilan dengan tindakan unilateral kerajaan menarik balik rayuan tanpa berunding dengan pihaknya termasuk pihak yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan tersebut.
“MAIS bertanggungjawab melindungi akidah umat Islam di Selangor. MAIS juga berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor pada 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dilaporkan berkata, kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Kata beliau, kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Menurut Abdul Aziz, kenyataan itu melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian di Selangor.
Ujar beliau, MAIS menegaskan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor adalah suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa di Selangor dan menyalahi fatwa yang diwarta pada 18 Februari 2010.
“MAIS berpandangan demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara memutuskan isu itu secara muktamad dan boleh menjadi panduan semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaannya,” kata beliau. – MalaysiaGazette
Jemaah menteri tu ramai, siapa menteri yang suroh tarik balik rayuan tu? Saja nak tahu!
Harap siapa yang ada info dapat kongsi, sharing is caring hu..hu..
MAIS faham tak apa kes ni? Baca tak judgement kes? Kes rampasan barang cetak yang tidak akan menang di mahkamah sivil kerana memang sah-sah kerajaan ketika tu silap kerana ada “polisi” bercanggah. Kes bukan kes membenarkan atau tidak membenarkan nama Allah digunakan. Ya Salam, dunia akhir zaman, orang boleh spon berbohong apa sahaja utk kepentingan politik & peribadi.