Pengerusi MARA, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM – Segala penjelasan kerajaan mengenai isu kalimah Allah sudah menutup segala kegusaran masyarakat, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, isu yang digembar gemburkan oleh segelintir masyarakat dan ahli politik adalah berkisar tentang isu rampasan buku oleh Jill Ireland bukan isu kalimah Allah itu sendiri.

“Ia tidak ada kaitan dengan soal penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan untuk disebarkan kepada masyarakat.

“Saya kira apa yang telah dijelaskan (kerajaan)  itu menutup segala kekeliruan dan apa guna kalau perkara ini sudah selesai tak perlulah kita panjangkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari MARA bersama rakyat peringkat negeri Selangor hari ini.

Asyraf Wajdi bekata demikian mengulas pertanyaan mengenai penjelasan kerajaan yang penarikan balik rayuan tersebut disebabkan percanggahan yang berlaku membabitkan keputusan jemaah menteri dan arahan pentadbiran pada 1986.

Justeru itu, beliau meminta agar masyarakat dah ahli politik untuk tidak lagi bermain dengan isu itu kerana ia boleh mengganggu gugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum sekiranya diberikan maklumat yang tidak tepat.

“Ia akan mencalar kerukunan dan keharmonian rakyat pelbagai agama dan kaum. Usah kita bermain dengan isu yang boleh membangkitkan situasi yang tidak sihat,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pemimpin politik di negara ini supaya tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai modal sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Saifuddin turut berkata, dalam usaha untuk mengaut keuntungan politik menggunakan isu tersebut, pemimpin politik tidak sepatutnya mengetepikan fakta.

Pada Rabu lalu, jemaah menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja. – MalaysiGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangan jadikan isu kalimah Allah modal politik masa PRN – Saifuddin