semadah
Anwar Ibrahim dan Mohamad Hasan melihat kesan kebakaran di tingkat atas bangunan asrama Semadah yang terbakar di Pedas, Rembau, Negeri Sembilan, hari ini.

REMBAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kelulusan khas kira-kira RM890,000 bagi membaik pulih asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Sail (Semadah) Pedas di sini yang terbakar pada Julai tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah tersebut adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diluluskan sebelum ini.

Anwar turut meminta pelaksanaan kerja membaik pulih asrama, bumbung dan surau dilaksanakan segera demi keselesaan para pelajar.

“Peruntukan diluluskan pada peringkat awalnya tetapi pelaksanaannya perlu mengikut proses, mengambil masa.

“Peruntukan diluluskan hampir RM3 juta tetapi untuk melihat keadaan asrama, bumbung dan surau, saya telah minta kelulusan khas bagi percepatkan,” katanya ketika berucap pada program lawatan ke Semadah, Pedas hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kebakaran yang berlaku pada 21 Julai itu memusnahkan tingkat atas bangunan asrama tersebut termasuk bumbung namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Semadah
Keadaan di tingkat atas bangunan asrama pelajar lelaki yang terbakar di Semadah, Pedas, Rembau, Negeri Sembilan.

Selain itu, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM310,000 untuk menambah baik bilik guru di Semadah.

Beliau turut memuji komitmen para pelajar dan guru di Semadah telah mencapai kecemerlangan walaupun prasarananya pada tahap sederhana.

“Kemudahan agak minimum tetapi masih mampu kerana komitmen dan dedikasi mereka sehingga jadi sekolah cemerlang,” jelasnya. – MalaysiaGazette