Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk mencederakan anak lelaki mereka menggunakan parang dan tukul besi tahun lalu.

MELAKA – Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas empat pertuduhan termasuk menyebabkan kecederaan terhadap anak lelaki mereka menggunakan parang dan tukul besi tahun lalu.

Tertuduh yang juga bapa tiri mangsa, Mohd Rahimi Kamarudin, 34, dan isterinya, Sharifah Nur Aziah Syed Murad, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut tiga pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan sengaja secara bersama-sama menyebabkan cedera kepada Mohamad Nazim Izany Syamsudin, 13, di bahagian kepala menggunakan tukul besi selain cedera di tangan dan pinggang menggunakan parang.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat No 90-1, Batu 4 1/2 Lorong Medang, Jalan Pulau Gadong, Klebang Besar di sini antara akhir Januari hingga awal Februari 2022.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A dan Seksyen 34 kanun sama.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan satu pertuduhan sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak sama telah mengabaikan atau mendedahkannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di rumah alamat No 7, Jalan Belimbing 4, Taman Widuri, Bachang, di sini pada kira-kira pukul 12 tengah malam awal Februari hingga 7 Februari 2022.

Sabit kesalahan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dalam hujahannya tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan tidak boleh dijamin terhadap kedua-dua tertuduh yang merupakan bapa tiri dan ibu kandung kepada mangsa.

Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau memohon jumlah dikenakan mencerminkan keseriusan kesalahan selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta perlu melapor diri di balai polis mengikut kesesuaian waktu tertuduh.

Peguam tertuduh, Muhammad Syah Azlan Abdullah bagaimanapun memohon pasangan itu dibenarkan ikat jamin dengan alasan mangsa berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak tinggal bersama anak guamnya sejak kejadian itu.

Mohd Rahimi yang bekerja sebagai buruh dengan gaji RM2,000 sebulan juga, katanya, perlu menyara enam lagi anak mereka berusia setahun hingga 16 tahun sambil dibantu Sharifah Nur Aziah yang bekerja pembantu kedai makan sambilan dengan pendapatan RM35 hingga RM40 sehari.

Hujahnya lagi, kedua-dua tertuduh juga perlu menjaga kesemua anak mereka bagi memastikan mereka tidak terabai selain anak sulung berusia 16 tahun hadir sebagai penjamin.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Darmafikri membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan pendakwaan selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan psikiatrik mangsa. – MalaysiaGazette.