Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Presiden Parti Punjabi Malaysia, Datuk Gurjeet Singh Rhande (hadapan, empat kiri) pada Majlis Sambutan perayaan Hari Vaisakhi bersama Persatuan Punjabi dan Persatuan Sikh Malaysia di Kelab Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 MEI 2023.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersedia untuk mempertimbangkan permohonan Parti Punjabi Malaysia (PPM) untuk menganggotai gabungan tersebut.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertimbangan itu bagi memperkukuhkan kedudukan BN, selain mempersiapkan gabungan itu untuk berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, katanya, parti teras dalam BN perlu bersetuju meminda perlembagaan BN terlebih dahulu sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan kelak secara semangat konsensus gabungan itu.

“Yakinlah,keberadaan kita dalam kalangan Friends of BN dan kaedah saya mengendalikan BN adalah dengan semangat ‘brotherhood’ (persaudaraan) kerana kita rasa semua parti mahu menyumbang untuk mewujudkan Malaysia yang stabil.

“Saya yakin suatu hari nanti kalau dipersetujui parti teras untuk meminda perlembagaan BN supaya Friends of BN boleh diterima sebagai parti komponen, sekali gus memperkukuhkan BN.

“Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ada di sini dan saya yakin beliau akan hubungi presidennya untuk menyatakan hal ini untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian dalam ucapan di Majlis Sambutan Perayaan Hari Vaisakhi di Kela Aman, Jalan Ampang di sini, malam ini yang turut dihadiri, Presiden Persatuan Punjabi Malaysia, Datuk Gurjeet Singh Rhande.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mersa bersama Presiden Parti Punjabi Malaysia, Datuk Gurjeet Singh Rhande pada Majlis Sambutan perayaan Hari Vaisakhi bersama Persatuan Punjabi dan Persatuan Sikh Malaysia di Kelab Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 MEI 2023.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mempelawa Gurjeet untuk membuat penampilan pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Saya tak pasti Gurjeet berminat untuk menjadi calon atau tidak pada PRN ini. Namun, beliau perlu kenal pasti kawasan (yang mahu ditandingi) jika berminat (untuk mewakili BN).

“Saya juga berharap untuk melihat tokoh-tokoh daripada PPM yang menganggotai Kabinet suatu hari nanti. Ini harapan saya,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Dalam pada itu, bercakap kemudian kepada MalaysiaGazette Presiden PPM Gurjeet Singh berkata, sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1986, parti itu kekal setia menyatakan sokongan kepada BN.

Katanya, sejak 15 tahun lalu, PPM telah didekati dan dipujuk oleh banyak gabungan parti lain untuk menyertai mereka tetapi segala pelawaan itu tidak dilayan kerana hanya berpendiriannya teguh untuk menyertai BN sahaja.

“Sekarang kami merupakan Friends of BN, tetapi berhasrat tinggi boleh diterima sebagai komponen BN.

“Saya sedar perlembagaan parti memerlukan persetujuan semua parti teras dalam komponen BN, oleh demikian saya berharap kepada MIC yang sedia maklum mengenai hasrat murni kami agar bersetuju untuk kami menjadi parti gabungan BN suatu hari nanti.

“Presiden terdahulu kami sudah menunggu 15 tahun dengan harapan ini tidak berhasil.. sekarang saya meneruskan harapan tinggi itu (anggotai BN), parti kami sanggup menunggu untuk 100 tahun lagi agar diterima sebagai komponen BN,” ujarnya.