KUALA LUMPUR – Besraya Highway Challenge yang dijadualkan berlangsung awal pagi ini terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk.
Penganjur acara itu, IJM dan Allianz Malaysia Berhad berkata, pihaknya kesal kerana terpaksa membuat keputusan itu tetapi keselamatan para peserta lebih diutamakan.
“Keselamatan peserta amat penting kepada kami dan atas pertimbangan utama itu kami membuat keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pembatalan itu diputuskan selepas memantau cuaca melalui laporan Jabatan Meteorologi Malaysia sejak satu jam sebelum larian itu bermula.
Jabatan Meteorologi Malaysia telah meletakkan Kategori Satu iaitu petir yang mungkin berbahaya, terutamanya pada acara skala terbuka.
Acara ini menampilkan dua kategori iaitu larian terbuka 6 kilometer dan 13 kilometer di Lebuhraya Besraya.
Mengikut jadual acara larian 13 kilometer bermula jam 6.30 pagi dan 6 kilometer 7 pagi tadi. – MalaysiaGazette