Superintendan Kamarul Rizal Jenal

BALIK PULAU – Seramai lima pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini ditahan bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar di tandas lelaki Blok B bangunan berkenaan pada Jumaat lalu.

MalaysiaGazette difahamkan, dalam kejadian pada 18 Mei lalu kira-kira jam 11 malam seorang pelajar Tingkatan Tiga dipukul dengan alasan lambat turun untuk solat Subuh.

Difahamkan, mangsa mengalami luka kecil pada bahagian badan akibat dipukul kumpulan pelajar terbabit menggunakan kaki serta tangan sebelum dia memaklumkan perkara berkenaan kepada bapanya pada keesokan hari.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan menerima laporan dan tangkapan tersebut.

Jelas beliau, tangkapan dibuat pada hari sama pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

“Bagaimanapun, kesemua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita merakamkan keterangan mereka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Selain itu, siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek tersebut telah membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama dalam tempoh masa 11 hingga 12.30 tengah malam membabitkan tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di blok B.

“Namun tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar Tingkatan Tiga memberitahu MalaysiaGazette kejadian buli itu hanya diketahui umum selepas ada waris meminta kenyataan balas daripada pihak MRSM berhubung tersebut.

Jelasnya, tiada kenyataan diberikan pihak MRSM setakat ini berhubung kejadian itu dan mungkin hanya kepada ibu bapa pelajar yang terlibat.

“Anak saya tak terlibat atau dibuli cuma bila saya tanya dia ada beritahu pada Sabtu lepas pelajar senior (tingkatan lima) memanggil pelajar tingkatan tiga secara beramai-ramai dan memberi amaran agar menghormati mereka termasuk memberi salam sekiranya berselisih nanti.

“Dalam perjumpaan itu anak perempuan saya tidak dibuli atau dipukul sebaliknya hanya peringatan mulut disampaikan kerana mereka menyifatkan pelajar tingkatan tiga terlalu manja.

“Bagaimanapun, kami dikejutkan dengan kejadian buli yang membabitkan tangkapan pada Jumaat lalu dan ia membabitkan pelajar lelaki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast