Yayasan MYPRIHATIN memberikan sumbangan dana berjumlah RM100,000 kepada IJNF serta penyerahan 50 hamper kepada pesakit jantung kanak-kanak di Wad Pediatrik IJN.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun di Malaysia mempunyai masalah jantung berlubang dan kongenital.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyakit jantung merupakan antara penyebab utama kematian di Malaysia dengan merekodkan sebanyak 18,515 kematian atau 17.0 peratus.

“Berdasarkan Laporan The Direct Healthcare Cost of Noncommunicable Diseases in Malaysia tahun lalu, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada tahun 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

“Oleh itu, bagi mengelakkan penyakit ini dinasihat kepada orang ramai untuk mencegah terlebih dahulu dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana perbelanjaan bagi merawat penyakit ini tidaklah murah.

“Di IJN sendiri, saya melihat telah memberi satu sumbangan yang besar dalam menangani penyakit jantung ini, selain itu diharapkan lebih banyak yayasan lain, terus memberi sokongan serta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menyumbang bagi membantu pesakit-pesakit ini,” katanya.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ditemui media selepas melancarkan Program Myheart Siri Ke-5 dan Kempen Kesihatan Prihatin, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Myheart Siri Ke-5 dan Kempen Kesihatan Prihatin, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Institut Jantung Negara Foundation (IJNF), Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong serta Pengerusi Yayasan MYPRIHATIN, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Tambah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, kebanyakan pesakit jantung kanak-kanak di negara ini memerlukan rawatan pembedahan dengan kepakaran yang kompleks.

Namun perbelanjaan kos perubatan adalah sangat tinggi iaitu kira-kira antara RM20,000 hingga RM60,000 seorang pesakit, bergantung kepada status kesihatan jantung mereka.

Pada majlis itu turut diadakan, acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Yayasan MYPRIHATIN dengan IJNF.

Ia bagi menjalinkan kerjasama mengendali dan menampung kos logistik pesakit jantung kanak-kanak yang menghadapi masalah kewangan menerusi program itu.

Dalam pada itu, Yayasan MYPRIHATIN turut memberikan sumbangan dana berjumlah RM100,000 kepada IJNF serta penyerahan 50 hamper kepada pesakit jantung kanak-kanak di Wad Pediatrik IJN.

Sumbangan dana itu adalah bagi kegunaan kos logistik kepada ibu atau bapa pesakit yang perlu menemani ahli keluarga mereka menerima rawatan atau pembedahan di IJN. – MalaysiaGazette