MELAKA – Seorang pengawal peribadi dan ejen judi online dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus sebuah syarikat dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, A Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki
seorang lelaki, M. Sandrasekeran, 33.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan 3/25 Taman Kenanga dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi, 9 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 302.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mathan Anandaram.

Majistret Mazana kemudian menetapkan 30 Jun ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

MalaysiaGazette pada 10 Mei lalu melaporkan gara-gara dipercayai bercakap mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita, pengurus sebuah syarikat maut ditikam seorang pelanggan lain di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi 9 Mei, mangsa meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Melaka akibat parah ditikam di jantung.

Lelaki itu di bawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannya menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Susulan itu, polis menahan sembilan individu berusia antara 20 hingga 38 tahun termasuk sepasang kekasih bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.